Sunday 12 April 2015

Macai? Apa maksud "macai"?

Dewasa ini, sering kali kita mendengar dan membaca tentang perkataan “macai” di laman-laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan sebagainya. Apabila kita melihat komen-komen di ruangan “page”, terutama sekali di “page” yang bersifat politik, kita akan melihat banyak perkataan “macai” yang muncul. Namun begitu, apakah maksud sebenar perkataan “macai” dan kepada siapakah perkataan tersebut ditujukan. Oleh itu, dalam ruangan ini penulis akan membincangkan tentang perkataan “macai” ini dengan lebih mendalam.
Sebelum penulis menulis isu ini, penulis telah terlebih dahulu mencari maksud perkataan ini di kamus-kamus bahasa Melayu yang menjadi rujukan kita sebagai rakyat Malaysia. Namun malangnya penulis tidak dapat menjumpai entri kata perkataan “macai” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Selain itu, penulis juga tidak menjumpai maksud perkataan “macai” dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Mengikut laman web PRPM, perkataan “macai” tidak terdapat dalam pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka dan belum diterima sebagai perkataan rasmi bahasa Melayu. Selain itu dalam laman web Malay Concordance Project juga tiada perkataan “macai” ditemui. Oleh itu, bagi menjelaskan dengan lebih terperinci tentang maksud perkataan “macai” ini, penulis perlu mengaplikasikan sedikit sebanyak konsep semantik di dalam ruangan ini.
Sebelum kita pergi dengan lebih jauh tentang perkataan “macai” ini, lebih baik sekiranya kita meneliti terlebih dahulu maksud semantik kerana bidang semantik sangat berkait rapat dengan isu perbincangan kita ini. Menurut Kearns (2000, dalam Griffiths, 2007, dalam Norsimah Mat Awal, 2014) semantik merupakan subbidang dalam ilmu linguistik dan bidang ini khusus mengkaji makna dalam bahasa. Makna pula merujuk kepada idea atau tujuan di sebalik sesuatu ujaran tersebut (Norsimah Mat Awal, 2014). Menurut Bloomfield (1935), makna merupakan bentuk linguistik yang merujuk kepada perkataan yang diujarkan oleh penutur dan tindak balas yang dijangkakan terhadap pendengar (Bloomfiled, 1935, terjemahan Alias Mahpol et al., 1992).  Oleh itu, setelah meneliti maksud semantik yang diberikan oleh tokoh-tokoh tersebut, dapat kita ketahui bahawa semantik merupakan kajian tentang makna dan makna yang terhasil itu akan menghasilkan tindak balas terhadap pendengar. Setiap perkataan secara semula jadinya haruslah mempunyai makna kerana tanpa makna sesuatu perkataan itu tidak akan dianggap sebagai perkataan. Namun begitu, jika kita lihat tentang maksud perkataan “macai”, perkataan tersebut masih tiada di dalam entri kamus tetapi perkataan itu digunakan dengan meluas di laman-laman sosial yang berunsurkan politik. Maka sudah pastilah perkataan “macai” mempunyai maksud yang tersendiri walaupun perkataan tersebut tiada di dalam entri kamus kerana kita perlu sedar bahawa otak manusia lebih cepat daripada kamus.
Sering kali kita mendengar bahawa perkataan “macai” itu sebenarnya didenotasikan kepada perkataan “pencacai”. Denotasi bermaksud sesuatu ungkapan atau perkataan itu dirujukkan kepada sesuatu objek, benda, orang, tempat, dan lain-lain (Norsimah Mat Awal, 2014). Jika perkataan “macai” merujuk kepada “pencacai”, jadi kita harus lihat maksud sebenar bagi “pencacai”. Namun malangnya, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan laman web PRPM, perkataan “pencacai” atau “cacai” merupakan perkataan yang tidak wujud. Tetapi yang peliknya di sini bahawa Tan Sri P. Ramlee telah menggunakan perkataan “pencacai” ini di dalam filem 3 Abdul pada tahun 1964. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian penulis terhadap penggunaan perkataan “macai” ini, perkataan ini lebih merujuk kepada orang yang terlalu taksub dengan sesuatu parti politik itu. Parti politik yang dimaksudkan ini bukan sahaja parti kerajaan yang memerintah ketika ini, tetapi juga merujuk kepada parti pembangkang di Malaysia ketika ini. Hal ini disebabkan apabila kita pergi ke “page’ facebook seperti Friend’s Of Barisan Nasional, Anwar Ibrahim, dan lain-lain, penggunaan perkataan “macai” ini akan ditujukan kepada pengikut yang terlalu taksub. Mereka akan menulis perkataan seperti “macai BN”, “macai Anwar Ibrahim”.
Kesimpulannya, jelaslah di sini bahawa walaupun sesuatu perkataan itu tidak terdapat di dalam entri kamus, namun perkataan tersebut juga dianggap perkataan yang bermakna kerana perkataan tersebut merujuk kepada sesuatu perkara yang difahami oleh penutur dan pendengar. Hal ini kerana bahasa manusia bersifat berubah-ubah dan tidak perlu menunggu kamus untuk berubah. Hal ini juga menunjukkan kehebatan akal yang dikurniakan Allah kepada kita kerana kita mampu mencipta perkataan-perkataan yang baru.
Nota: Penulis menasihatkan agar perkataan “macai” ini jangan digunakan sesuka hati kerana boleh mencetuskan kemarahan seseorang apabila perkataan tersebut ditujukan kepadanya.

Bibliografi.
Buku.
Bloomfield. 1935. (Terjemahan Alias Mahpol et al.. 1992). Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Norsimah Mat Awal. 2014. (Editor Mohammad Fadzeli Jaafar. 2014). Pengenalan Linguistik: Teoretis dan Aplikasi. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Kamus.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Laman web.

No comments:

Post a Comment