Wednesday 6 May 2015

Senarai 20 kata lama Bahasa Melayu yang jarang atau sudah tidak digunakan

20 kata-kata lama Bahasa Melayu (yang tidak atau jarang digunakan pada masa ini).
Disediakan oleh: Mohamad Rozi Bin Kasim
Bahasa merupakan sesuatu perkara yang bersifat evolusi dan berubah dari masa ke masa. Ada kalanya sesuatu bahasa itu kekal dari dulu hingga kini, dan ada kalanya sesuatu bahasa itu hilang ditenggelami arus masa. Dalam sesuatu bahasa itu, antara input yang perlu ada mestilah kata atau perkataan yang daripada kata atau perkataan itu akan membentuk ayat dan wacana. Namun sedarkah kita bahawa dalam sesuatu bahasa itu terdapat beberapa perkataan yang dahulunya wujud tetapi perkataan tersebut semakin jarang atau tidak digunakan dewasa ini? Tidak mustahil juga jika perkataan yang kita gunakan ketika ini akan jarang dan tidak digunakan lagi pada masa hadapan. Berikut merupakan 20 contoh kata atau perkataan bahasa Melayu lama yang jarang atau tidak digunakan lagi pada masa ini:
1.    kebaji.
·         Maksud: Ubat jampi yang menimbulkan kebencian terhadap seseorang atau antara suami dengan isteri (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Hanafi kena kebaji supaya benci pada sekalian perempuan yang lain’ (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
2.    peletok.
·         Maksud: pulas (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... semasa orang-orang Cina sedang pinang itu kita peletokkan betul-betul lehernya biar terbuntang matanya’ (Majalah Guru, 1934: 443-445, dalam Malay Concordance Project).
3.    sebai.
·         Maksud: kain yang dibelitkan di leher untuk menutup bahu dan kedua-dua hujungnya tergantung di dada; selendang yang digantungkan di bahu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘kata Fatimah itu maka Rasul Allah pun mengunjukkan sebai baginda kepada Fatimah. Maka diambilnya sebai itu lalu segera ... (Hikayat Ibrahim Ibn Adham, 1775, dalam Malay Concordance Project).
4.    kumal.
·         Maksud: Renyuk dan kotor (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘seluar yang kumal dan koyak-koyak sudah kehilangan warna asalnya’. ‘…diselubungi dirinya dengan kain selimut yang sudah berkumal’ (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
5.    sebal.
·         Maksud: hati berasa dongkol atau marah dalam hati kerana kecewa dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘nasibku juga , tiada sekali merasai suka. Bertambah sebal hati Ken Tabuh , sambil ia tunduk mengeluh , di dalam hati ...’ (Syair Ken Tambunan, 1872, dalam Malay Concordance Project).



6.    timpuk.
·         Maksud: lempar atau lontar (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘…itulah ya tuhanku ia ngeran maka gunung itu hendak ditimpukkannya kepada Nola Nila." Apabila Sri Rama menengar kata Anila’ (Hikayat Seri Rama, 1980, dalam Malay Concordance Project).
7.    tulu.
·         Maksud: sangat bodoh, hilang akal, bingung, atau bodoh (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ... "Inilah agaknya kerbau bapa engkau yang bingung tulu itu! Adakah begini rupa kerbau? Allah! Allah! Pak Pandir! ... (Cerita Jenaka, 1963, dalam Malay Concordance Project).
8.    walang.
·         Maksud: Bersedih hati, dukacita, gelisah, khuatir (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘… kebayan bermohon pulang , Kalbu di dalam terlalu walang , Badan tak herot bawa berulang , Sakit semuanya sendi dan ...’ (Syair Raja Damsyik, 1864, dalam Malay Concordance Project)



9.    kulon.
·         Maksud: Barat (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... dan daripada Hasanuddin itu pergilah di sebelah kulon bertapa; dan inilah keris aku jagakan kepada kamu juga dari ...’ (Hikayat Hasanuddin, 1938, dalam Malay Concordance Project).
10. geladak.
·         Maksud: Perempuan pelacur atau perempuan jalang (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Cilaka sungguh perempuan geladak , Kita sangka laki-laki mau mengudak , Aku sangka laki-laki ...’ (Syair Buah-buahan, 1978, dalam Malay Concordance Project).
11. bahana.
·         Maksud: Bunyi kuat seperti bunyi meriam berdentum (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... sampai masuk istana , Meriam dipasang gemuruh bahana , Adat perintah semua terkena , Diatur oleh menteri perdana’ (Syair Raja Damsyik, 1864, dalam Malay Concordance Project).
12. mencacau.
·         Maksud: Menyebut atau melakukan sesuatu dengan tidak tentu fikiran dan perasaan seperti meracau (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Telah dikatakan bahwa Towkay itu selalu mencacau dirasuk oleh Hantu Meleset! Entah bagaimana ia pun mencapai …’ (Majlis 1932: 2, dalam Malay Concordance Project).
13. halwa.
·         Maksud: Buah-buahan yang direndam di dalam air gula (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Segala nikmat berbagai nika , Sekalian halwa ada belaka , Di atas meja diatur mereka , Ramailah makan segala…’ (Syair Raja Johor, 1983, dalam Malay Concordance Project).
14. jib.
·         Maksud: Layar yang berbentuk segi tiga yang dipasang pada tiang perahu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... itu, lalu dilayarkanlah juga ke laut dengan satu jib sahaja. Maka kelihatanlah dua buah perahu payar ada berlayar di ...’ (Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, 1838, dalam Malay Concordance Project).
15. karar.
·         Maksud: Tenang atau tenteram (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘kota perbaiki dan adil perkasa sangat-sangat supaya karar dalam kerajaan adinda. Adapun segala raja-raja itu jikalau suda…’ (Hikayat Seri Rama, 1980, dalam Malay Concordance Project).




16. melantur.
·         Maksud: Fikiran yang menyimpang jauh atau terpesong daripada matlamat (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat:Maka sahut Tun Delima, “Hai Tun Anggur, jangan bicaramu melantur, jikalau diingat yang demikian, tentu menjadi teringat jua si…’ (Hikayat Merpati Mas dan Merpati Perak, 1887, dalam Malay Concordance Project).
17. mamang.
·         Maksud: tergopoh-gapah atau tergesa-gesa (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘…perkara itu tiada diperbuat(an)nya itu dengan mamang, melainkan adalah dengan perangainya yang lemah-lembut.’ (Adat Raja Melayu, 1873, dalam Malay Concordance Project).
18. dapa.
·         Maksud: Hamba yang dikirimkan sebagai hadiah kepada bakal mentua (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Dua orang lagi perempuan dapa, memakai baju merah berupa , memakai tudung warna safa , ...’ (Syair Tawarikh Zainal Abidin yang Ketiga, 1936, dalam Malay Concordance Project).



19. empis.
·         Maksud: Pagar untuk melorongkan binatang masuk ke dalam perangkap (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·          Penggunaan Dalam Ayat: ‘...sagur berlapis-lapis , di hadapan kubunya seperti empis , angkatan yang datang bagai tapis , banyak yang tinggal ...’ (Syair Sultan Maulana, 1825, dalam Malay Concordance Project).
20. ganggang.
·         Maksud: Sedang disalai dengan api (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Kemudian tutuplah balang kecil itu dan ganggang akan dia dengan ukupnya gaharu dan kemenyan. Kemudian...’ (Perhimpunan Gunawan bagi Laki-laki dan Perempuan, 1911, dalam Malay Concordance Project).









Bibliografi.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Contoh ayat diakses daripada http://mcp.anu.edu.au/  27/4/2015