Wednesday 6 May 2015

Senarai 20 kata lama Bahasa Melayu yang jarang atau sudah tidak digunakan

20 kata-kata lama Bahasa Melayu (yang tidak atau jarang digunakan pada masa ini).
Disediakan oleh: Mohamad Rozi Bin Kasim
Bahasa merupakan sesuatu perkara yang bersifat evolusi dan berubah dari masa ke masa. Ada kalanya sesuatu bahasa itu kekal dari dulu hingga kini, dan ada kalanya sesuatu bahasa itu hilang ditenggelami arus masa. Dalam sesuatu bahasa itu, antara input yang perlu ada mestilah kata atau perkataan yang daripada kata atau perkataan itu akan membentuk ayat dan wacana. Namun sedarkah kita bahawa dalam sesuatu bahasa itu terdapat beberapa perkataan yang dahulunya wujud tetapi perkataan tersebut semakin jarang atau tidak digunakan dewasa ini? Tidak mustahil juga jika perkataan yang kita gunakan ketika ini akan jarang dan tidak digunakan lagi pada masa hadapan. Berikut merupakan 20 contoh kata atau perkataan bahasa Melayu lama yang jarang atau tidak digunakan lagi pada masa ini:
1.    kebaji.
·         Maksud: Ubat jampi yang menimbulkan kebencian terhadap seseorang atau antara suami dengan isteri (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Hanafi kena kebaji supaya benci pada sekalian perempuan yang lain’ (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
2.    peletok.
·         Maksud: pulas (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... semasa orang-orang Cina sedang pinang itu kita peletokkan betul-betul lehernya biar terbuntang matanya’ (Majalah Guru, 1934: 443-445, dalam Malay Concordance Project).
3.    sebai.
·         Maksud: kain yang dibelitkan di leher untuk menutup bahu dan kedua-dua hujungnya tergantung di dada; selendang yang digantungkan di bahu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘kata Fatimah itu maka Rasul Allah pun mengunjukkan sebai baginda kepada Fatimah. Maka diambilnya sebai itu lalu segera ... (Hikayat Ibrahim Ibn Adham, 1775, dalam Malay Concordance Project).
4.    kumal.
·         Maksud: Renyuk dan kotor (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘seluar yang kumal dan koyak-koyak sudah kehilangan warna asalnya’. ‘…diselubungi dirinya dengan kain selimut yang sudah berkumal’ (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
5.    sebal.
·         Maksud: hati berasa dongkol atau marah dalam hati kerana kecewa dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘nasibku juga , tiada sekali merasai suka. Bertambah sebal hati Ken Tabuh , sambil ia tunduk mengeluh , di dalam hati ...’ (Syair Ken Tambunan, 1872, dalam Malay Concordance Project).



6.    timpuk.
·         Maksud: lempar atau lontar (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘…itulah ya tuhanku ia ngeran maka gunung itu hendak ditimpukkannya kepada Nola Nila." Apabila Sri Rama menengar kata Anila’ (Hikayat Seri Rama, 1980, dalam Malay Concordance Project).
7.    tulu.
·         Maksud: sangat bodoh, hilang akal, bingung, atau bodoh (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ... "Inilah agaknya kerbau bapa engkau yang bingung tulu itu! Adakah begini rupa kerbau? Allah! Allah! Pak Pandir! ... (Cerita Jenaka, 1963, dalam Malay Concordance Project).
8.    walang.
·         Maksud: Bersedih hati, dukacita, gelisah, khuatir (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘… kebayan bermohon pulang , Kalbu di dalam terlalu walang , Badan tak herot bawa berulang , Sakit semuanya sendi dan ...’ (Syair Raja Damsyik, 1864, dalam Malay Concordance Project)



9.    kulon.
·         Maksud: Barat (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... dan daripada Hasanuddin itu pergilah di sebelah kulon bertapa; dan inilah keris aku jagakan kepada kamu juga dari ...’ (Hikayat Hasanuddin, 1938, dalam Malay Concordance Project).
10. geladak.
·         Maksud: Perempuan pelacur atau perempuan jalang (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Cilaka sungguh perempuan geladak , Kita sangka laki-laki mau mengudak , Aku sangka laki-laki ...’ (Syair Buah-buahan, 1978, dalam Malay Concordance Project).
11. bahana.
·         Maksud: Bunyi kuat seperti bunyi meriam berdentum (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... sampai masuk istana , Meriam dipasang gemuruh bahana , Adat perintah semua terkena , Diatur oleh menteri perdana’ (Syair Raja Damsyik, 1864, dalam Malay Concordance Project).
12. mencacau.
·         Maksud: Menyebut atau melakukan sesuatu dengan tidak tentu fikiran dan perasaan seperti meracau (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Telah dikatakan bahwa Towkay itu selalu mencacau dirasuk oleh Hantu Meleset! Entah bagaimana ia pun mencapai …’ (Majlis 1932: 2, dalam Malay Concordance Project).
13. halwa.
·         Maksud: Buah-buahan yang direndam di dalam air gula (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Segala nikmat berbagai nika , Sekalian halwa ada belaka , Di atas meja diatur mereka , Ramailah makan segala…’ (Syair Raja Johor, 1983, dalam Malay Concordance Project).
14. jib.
·         Maksud: Layar yang berbentuk segi tiga yang dipasang pada tiang perahu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘... itu, lalu dilayarkanlah juga ke laut dengan satu jib sahaja. Maka kelihatanlah dua buah perahu payar ada berlayar di ...’ (Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, 1838, dalam Malay Concordance Project).
15. karar.
·         Maksud: Tenang atau tenteram (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘kota perbaiki dan adil perkasa sangat-sangat supaya karar dalam kerajaan adinda. Adapun segala raja-raja itu jikalau suda…’ (Hikayat Seri Rama, 1980, dalam Malay Concordance Project).




16. melantur.
·         Maksud: Fikiran yang menyimpang jauh atau terpesong daripada matlamat (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat:Maka sahut Tun Delima, “Hai Tun Anggur, jangan bicaramu melantur, jikalau diingat yang demikian, tentu menjadi teringat jua si…’ (Hikayat Merpati Mas dan Merpati Perak, 1887, dalam Malay Concordance Project).
17. mamang.
·         Maksud: tergopoh-gapah atau tergesa-gesa (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘…perkara itu tiada diperbuat(an)nya itu dengan mamang, melainkan adalah dengan perangainya yang lemah-lembut.’ (Adat Raja Melayu, 1873, dalam Malay Concordance Project).
18. dapa.
·         Maksud: Hamba yang dikirimkan sebagai hadiah kepada bakal mentua (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Dua orang lagi perempuan dapa, memakai baju merah berupa , memakai tudung warna safa , ...’ (Syair Tawarikh Zainal Abidin yang Ketiga, 1936, dalam Malay Concordance Project).



19. empis.
·         Maksud: Pagar untuk melorongkan binatang masuk ke dalam perangkap (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·          Penggunaan Dalam Ayat: ‘...sagur berlapis-lapis , di hadapan kubunya seperti empis , angkatan yang datang bagai tapis , banyak yang tinggal ...’ (Syair Sultan Maulana, 1825, dalam Malay Concordance Project).
20. ganggang.
·         Maksud: Sedang disalai dengan api (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
·         Penggunaan Dalam Ayat: ‘Kemudian tutuplah balang kecil itu dan ganggang akan dia dengan ukupnya gaharu dan kemenyan. Kemudian...’ (Perhimpunan Gunawan bagi Laki-laki dan Perempuan, 1911, dalam Malay Concordance Project).









Bibliografi.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Contoh ayat diakses daripada http://mcp.anu.edu.au/  27/4/2015












Tuesday 28 April 2015

Sinonim maksudnya sama maksud?? Hmmm sejauh manakah betul penyataan tersebut? Mari kita lihat info ini :)

Sinonim.
Sering kali kita mendengar bahawa sinonim merupakan perkara yang sama maksud. Namun tahukah kita bahawa sinonim sebenarnya tidak seratus peratus sama dan sudah pasti terdapat perbezaan antara sesuatu perkataan tersebut?
Jadi dalam penulisan kali ini, saya ingin berikan sedikit info yang dipetik daripada kuliah HMT 505 Dr Jumiya Ahmad yang bertarikh 8 April 2015. Kuliah ini akan memberitahu kita bahawa sebenarnya sinonim ini ada kalanya tidak seratus peratus sama maksud dan sama konteks penggunaannya.

Konteks Perbezaan Makna Sinonim

(a)       Konteks yang tidak boleh ditukar ganti
            Contohperempuan dan wanita walaupun bersinonim tetapi ungkapan persatuan wanita tidak dapat ditukar menjadi persatuan perempuan (Jumiya Ahmad, 2015).

(b)       Konteks yang formal dan tidak formal
            Contoh:  kata ganti nama diri orang pertama saya digunakan dalam suasana formal sebaliknya kata aku digunakan dalam situasi tidak formal (Jumiya Ahmad, 2015).

(c)        Konteks susun lapis masyarakat
            Contoh:  kata ganti nama diri orang pertama beta digunakan oleh raja untuk menyebut diri baginda tetapi bagi rakyat biasa kata ganti diri untuk menyebut diri apabila berhubungan dengan golongan diraja ialah patik (Jumiya Ahmad, 2015).

(d)       Konteks perbezaan penggunaan
            Contoh:  kata mati digunakan dalam konteks  biasa sedangkan ungkapan meninggal dunia digunakan dalam konteks yang lebih sopan (Jumiya Ahmad, 2015).

Rujukan.

Jumiya Ahmad. 2015. Nota Kuliah HMT 504 8 April. Program Sarjana Bahasa Melayu, Bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan & Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.


Wednesday 15 April 2015

Isu masyarakat yang boleh menuturkan dua bahasa atau lebih dan kaitannya dengan Prinsip Kesopanan Leech

 Perkaitan antara multilingualism dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet, dan chat yang terdapat di laman-laman sosial.

1.0  Pengenalan.
Setiap orang di dunia ini mempunyai kelebihan yang dianugerahkan oleh Tuhan dalam menguasai dua bahasa atau lebih. Penguasaan dua bahasa atau lebih ini boleh dikenali sebagai multilingualism atau dwibahasa. Sebagai contoh, seorang penutur bahasa Melayu yang mempunyai kebolehan untuk bertutur bahasa Melayu (bahasa pertamanya) dan bahasa Inggeris (bahasa keduanya) dianggap sebagai mereka yang mempunyai multilingualism. Pemerolehan bahasa kedua, ketiga, atau seterusnya kebiasaannya tidak diperolehi secara semula jadi, tetapi melalui pendidikan secara formal atau tidak formal. Setelah memperoleh bahasa kedua, kebiasaanya penutur akan mencampur-adukkan antara bahasa pertamanya dengan bahasa keduanya dalam komunikasi seharian, sama ada semasa komunikasi lisan atau tulisan. Kadang-kala, komunikasi yang telah dicampur-adukkan itu juga menunjukkan sikap seseorang itu, iaitu sama ada seseorang itu bertutur dengan sopan atau tidak sopan. Oleh itu, di dalam kajian ini, pengkaji ingin melihat dan mengkaji fenomena multilingualism yang diguanakan oleh penguna-pengguna laman sosial dan dikaitkan dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983).
2.0  Kaedah kajian.
Di dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian, iaitu melihat fenomena multilingualism yang terdapat di laman-laman sosial dewasa ini. Fenomena multilingualism ini kemudiannya akan dikaitkan dengan Prinsip Kesopanan yang telah diperkenalkan oleh Leech (1983).
3.0  Objektif kajian.
Objektif kajian bagi kajian ini adalah untuk memahami maksud sebenar bagi multilingualism yang dimiliki oleh penutur bahasa Melayu di Malaysia yang dapat dilihat penggunaannya di laman-laman sosial dewasa ini. Selain itu, objektif kajian ini juga adalah untuk melihat perkaitan antara multilingualism dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet, dan chat yang terdapat di laman-laman sosial.
4.0  Hasil kajian.
Di dalam bahagian ini, pengkaji akan membahagikan bahagian ini kepada dua aspek yang utama, iaitu definisi multilingualism dan kaitan antara multilingualism dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet, dan chat yang terdapat di laman-laman sosial.
4.1  Definisi multilingualism.
Sebelum pengkaji mengulas dengan lebih lanjut tentang multilingualism, pengkaji ingin terlebih dahulu memberikan definisi asas bagi bahasa menurut tokoh linguistik yang terkenal. Bahasa mengikut  Sapir (1921, dalam Nik Safiah Karim, 1990) didefinisikan sebagai “cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan secara sukarela”. Sesuatu bahasa itu akan dipertuturkan oleh penutur bagi sesuatu komuniti bahasa dan perlu diingat bahawa sesorang penutur itu kadang-kala mempunyai kebolehan dalam menuturkan dua bahasa atau lebih. Kebolehan berbahasa yang dimilik oleh sesorang penutur inilah yang dipanggil sebagai multilingualism. Multilingualism atau dalam perkataan lain, iaitu dwibahasa merupakan kebolehan seseorang penutur untuk bertutur dalam dua bahasa atau lebih.  Menurut Bloomfield, dalam bukunya yang bertajuk Bahasa (Bloomfield, 1935, dalam terjemahan Alias Mahpol et al, 1992), dwibahasa merupakan penguasaan dua bahasa seperti penutur asli dan biasanya penutur dwibahasa memperoleh bahasa keduanya ketika peringkat awal kanak-kanak lagi. Menurut Fishman pula di dalam bukunya yang bertajuk Sosiologi Bahasa: Satu Pendekatan Sains Kemasyarkatan Antara Disiplin Terhadap Bahasa Dalam Masyarakat (Fishman, 1972, dalam terjemahan Alias Mohamad Yatim, 1991), dwibahasa adalah satu sifat kecekapan linguistik individu. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa multilingualism ini merupakan kebolehan berbahasa lebih daripada satu bahasa yang dimiliki oleh seseorang individu itu dan setiap orang yang lahir ke dunia ini secara semula jadinya mempunyai keupayaan untuk menguasai lebih daripada satu bahasa.
4.2  Kaitan antara multilingualism dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet, dan chat yang terdapat di laman-laman sosial.
Di dalam bahagian ini, pengkaji ingin membincangkan tentang kaitan antara multilingualism dengan prinsip kesopanan yang telah diperkenalkan oleh tokoh pragmatik yang terkenal, iaitu Leech (1983, dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah et al, Tiada Tarikh). Kaitan antara kedua-dua aspek ini penting bagi memperlihatkan kebolehgabungan bidang sosiolingusitik (multilingualism) dengan teori pragmatik (prinsip kesopanan Leech) bagi memperlihatkan penggunaan multilingualism yang digunakan oleh masyarakat di dalam laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan sebagainya untuk tujuan memperlihatkan kesopanan mereka, sama ada melalui status, tweet, chat, komen, dan sebagainya. Prinsip kesopanan Leech (1983) terdiri daripada enam maksim, seperti yang berikut:
4.2.1        Maksim santun
Di dalam maksim ini, penutur akan cuba mengurangkan kuasa yang dimilikinya dengan memaksimumkan manfaat dan mengungkapkan pujian kepada orang lain. Lihat contoh di bawah:

Gambar 1: Contoh chat (mesej peribadi) penutur dengan lawan tutur. (Identiti sebenar bagi pemilik akaun facebook ini dirahsiakan atas permintaan pemilik akaun facebook itu sendiri)
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

Berdasarkan contoh di atas, dapat kita lihat bahawa penutur menggunakan multilingualism dalam perbualan (chat) tersebut, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, hanya terdapat satu sahaja perkataan bahasa Inggeris, iaitu lawyer (tidak termasuk kata pinjaman bahasa Inggeris “model”) yang digunakan di dalam perbualan tersebut. Tujuan penutur menggunakan perkataan lawyer kerana perkataan tersebut seperti memuji kerjaya yang dimiliki oleh lawan tutur. Sememangnya, bahasa Melayu juga mempunyai perkataan yang sama maksud dengan lawyer, iaitu peguam, namun perkataan lawyer lebih kerap digunakan oleh masyarakat di Malaysia di dalam perbualan yang santai dan tidak formal.
4.2.2        Maksim budiman atau maksim kedermawaan
Di dalam maksim ini, penutur akan membuat tawaran kepada penutur lain seperti memberi tawaran, bantuan, pertolongan, dan kasih sayang kepada lawan tutur. Lihat contoh di bawah:

Gambar 2: Contoh maksim kedermawaan yang dipetik daripada halaman perniagaan atas talian (online) di facebook.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

Berdasarkan contoh di atas, terdapat juga penggunaan multilingualism dalam promosi jualan tudung secara online di facebook. Di sini kita dapat lihat perbezaan antara penggunaan multilingualism di dalam Gambar 1 dan Gambar 2 bagi menunjukkan seseorang itu mematuhi Prinsip Kesopanan Leech. Di dalam Gambar 1, penggunaan bahasa kedua dianggap mematuhi Prinsip Kesopanan Leech kerana perkataan tersebut dianggap memuji lawan tuturnya. Namun, di dalam Gambar 2, bahasa yang mematuhi Prinsip Kesopanan Leech ialah bahasa pertama penutur, iaitu bahasa Melayu. Hal ini disebabkan penutur menggunakan bahasa Melayu untuk memberi tawaran kepada pembeli atau pembaca (lawan tutur). Walaupun penggunaan bahasa pertama sudah cukup untuk mematuhi Prinsip Kesopanan Leech itu, penutur tetap juga menggunakan bahasa keduanya, iaitu bahasa Inggeris untuk memberi bantuan kepada lawan tuturnya untuk faham tentang promosi yang ditawarkannya. Perkataan bahasa Inggeris yang digunakan untuk membantu lawan tuturnya ialah “like page” dan “done”. Oleh itu, jika kita lihat kembali definisi maksim budiman yang dikemukan oleh Leech, bahasa kedua itu juga dianggap mematuhi Prinsip Kesopanan Leech kerana bahasa kedua itu “memberi bantuan” kepada lawan tutur untuk memahami tindakan yang harus dilakukannya untuk mendapat tudung percuma. 

4.2.3        Maksim sokongan
Maksim sokongan membawa maksud pengurangan cacian dan penambahan pujian kepada orang lain. Maksim ini lebih merujuk kepada kata-kata mengampu yang diucapkan oleh penutur kepada lawan tutur. Lihat contoh di bawah:

Gambar 3: Contoh maksim sokongan.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

Contoh yang terdapat di dalam Gambar 3 ini pula menunjukkan penggunaan multilingualism untuk menunjukkan sokongan penutur kepada lawan tuturnya. Hal ini terbukti apabila penggunaan perkataan-perkataan sokongan berbentuk pujian seperti sangat cantik, credit, dan awesome. Kesemua perkataan tersebut ialah campuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang menunjukkan penutur ingin memuji lawan tuturnya.
4.2.4        Maksim kerendahan hati
Di dalam maksim ini terdapat pengurangan pujian dan penambahan kurang memuji (cacian) atas diri sendiri. Melalui maksim ini juga, penutur bukan sahaja akan mengurangkan cacian terhadap dirinya, malah memaksimumkan cacian terhadap dirinya sendiri. Lihat contoh di bawah:

Gambar 4: Contoh maksim kerendahan hati.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

Di dalam Gambar 4 , sudah terang lagi bersuluh comment yang disampaikan oleh penutur mematuhi maksim kerendahan hati. Sebagai contoh, penutur mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam ayat “saya ni hari-hari keje dapat RM30 je tau sehari even saya ada degree”. Kenyataan tersebut bukan sahaja untuk merendahkan dirinya, malah memaksimumkan cacian terhadap dirinya kerana gaji yang diperolehnya tidak setimpal dengan kelayakan yang dimiliki oleh penutur. Fokus di sini memperlihatkan penutur menggunakan bahasa pertama dan bahasa keduanya untuk memaksimumkan cacian terhadap dirinya. Di dalam ayat “saya hari-hari keje” menunjukkan bahawa penutur ingin membuat cacian terhadap dirinya dan penggunaan perkataan “even” yang menunjukkan penutur ingin memaksimumkan lagi cacian tersebut.
4.2.5        Maksim persetujuan
Maksim persutujuan memperlihatkan pengurangan perselisihan faham dan penambahan persepakatan antara diri dan orang lain. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada konflik dan perbalahan di antara satu sama lain.  Selain itu, maksim ini adalah bertujuan menjaga air muka seseorang. Lihat contoh di bawah:

Gambar  5: Contoh maksim persetujuan.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

Berdasarkan Gambar 4, comment antara dua orang penutur itu adalah untuk mengurangkan perselisihan faham atau konflik dan menambahkan persepakatan antara penutur yang pertama dengan yang kedua. Kedua-dua orang penutur itu menggunakan multilingualism bagi menghasilkan kenyataan yang berbentuk persepakatan dan mengurangkan perselisihan faham.
4.2.6        Maksim simpati
Maksim simpati merujuk kepada penambahan simpati kepada orang lain.  penutur akan cuba untuk menghilangkan rasa benci atau perasaan negatif yang lain terhadap diri orang tersebut dan sebaliknya akan memberi sifat simpati dan belas kasihan terhadap orang tersebut.   Dalam maksim ini ditunjukkan oleh dua penanda yang besar iaitu takziah dan tahniah. Lihat contoh di bawah:

Gambar 6: Contoh maksim simpati.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.

            Gambar 6 menunjukkan bahawa terdapat juga penggunaan multilingualism antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi menunjukkan seseorang itu berasa simpati kepada orang lain. Kenyataan berbentuk simpati ini mematuhi Prinsip Kesopanan Leech yang keenam, iaitu maksim simpati. Di dalam Gambar 6, ayat “stay strong ok kak” menunjukkan gabungan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk menunjukkan rasa simpati. Penutur menggunakan bahasa keduanya (bahasa Inggeris), iaitu “stay strong” untuk menunjukkan rasa simpati dan menggunakan bahasa pertamanya, iaitu “kak” untuk merujuk kepada orang yang ingin beliau sampaikan rasa simpati itu.
Menurut Leech (1983), walaupun beliau telah memperkenalkan maksim tersebut sebagai pengawal dalam situasi perbualan, namun beliau berpendapat bahawa maksim tersebut bukanlah sesuatu rumus yang perlu dipatuhi secara mutlak. Perkara ini ditekankan terutamanya dalam submaksim yang lemah sifatnya seperti penambahan cacian terhadap diri sendiri semata-mata untuk menunjukkan kesantunan kita. Manusia tidak perlu memperlekeh diri sendiri semata-mata untuk menambahkan pujian dan sanjungan terhadap pihak lain. Maksim tersebut mungkin mewujudkan sangkaan orang lain bahawa kita bersikap tidak jujur dan menimbulkan keraguan orang lain terhadap kita. Hakikatnya, manusia tidak perlu mengurangkan kebaikan dirinya semata-mata untuk kebaikan pihak lain, seperti yang dituntut dalam Maksim budiman dan maksim berhemah (Leech, 1983, dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah et al, Tiada Tarikh). Kenyataan Leech itu ada benarnya kerana kadang-kala apabila kita memperlekehkan diri kita semata-mata ingin dilihat sebagai seorang yang rendah diri (maksim kerendahan hati), kita akan dianggap sebagai seorang tidak bermotivasi dan kurang keyakinan diri. Contohnya petikan perbualan seperti, “aku ni tak pandai dan bodoh sebab gagal SPM, kau lagi pandai daripada aku sebab lulus SPM”. Petikan tersebut menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai keyakinan diri dan motivasi yang tinggi kerana sesorang gagal dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tidak bermakna bahawa dia juga akan gagal dalam kehidupannya sebagai seorang manusia.

5.0  Kesimpulan.
Sememangnya penutur bahasa Melayu di Malaysia mempunyai keupayaan untuk bertutur lebih daripada satu bahasa. Namun begitu, berdasarkan kajian yang telah dihuraikan di atas, tidak semestinya seseorang yang mencampur-adukkan bahasa pertamanya (bahasa Melayu) dengan bahasa keduanya (bahasa Inggeris) mempunyai kecekapan linguistik yang baik dalam menguasai bahasa kedua tersebut. Hal ini disebabkan, kebanyakan individu yang mencampur-adukkan dua bahasa atau lebih dalam sesuatu pernyataan mungkin hanya menguasai sebahagian atau sedikit sahaja bahasa keduanya kerana penggunaan bahasa kedua yang minima di dalam sesuatu pernyataan tersebut. Hal ini sudah tentulah meragukan kita sekiranya kita menganggap bahawa individu yang menyelitkan dua atau tiga patah perkataan bahasa keduanya ke dalam sesuatu pernyataan mempunyai kebolehan berbahasa yang baik terhadap bahasa keduanya. Selain itu, sememangnya terdapat banyak sebab seseorang individu itu menggunakan dwibahasa di dalam sesuatu perbualan atau pernyataan. Walaubagaimanapun,  pengkaji dapat simpulkan di sini bahawa penggunaan dwibahasa juga mampu menunjukkan kesopanan sesorang itu kerana bahasa kedua yang digunakan di dalam contoh-contoh di atas lebih kepada menunjukkan seseorang itu ingin menghargai, memuji, menunjukkan rasa simpati, dan memudahkan individu lain untuk memahami pernyataan atau perbualan tersebut.





Rujukan.
Bloomfield, Leonard. 1935. Bahasa. Terjemahan Alias Mahpol et al. 1992. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Fishman, A. Joshua. 1972. Sosiologi Bahasa: Satu Pendekatan Sains Kemasyarakatan Antara Disiplin Terhadap Bahasa Dalam Masyarakat. Terjemahan Alias Mohamad Yatim. 1991. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Nik Safiah Karim. 1990. Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Wardhaugh, Ronald. 2006. An Introduction To Sociolinguistics: Fifth Edition. Blackwell Publishing: USA.
Zaitul Azma Zainon Hamzah et al. Tiada Tarikh. Kesantunan Bahasa Dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi: Universiti Putra Malaysia. http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/08/7-KESANTUNAN-BERBAHASA-DALAM-KALANGAN-REMAJA.pdf