Wednesday 11 December 2019

Isu kata kerja di dalam Tatabahasa Dewan (TBD) dan Nahu Melayu Mutakhir (NMM) dari sudut pandang Gisa Rauh (syntactic categories).

Mohamad Rozi Bin Kasim (Ph.D)


1.    1.  Dalam TBD, terdapat beberapa kata kerja yang apabila digabungkan dengan imbuhan meN- apabila bertemu dengan  /p/ /k/ dan sebagainya (konsonan homorganik) tetap dikekalkan atas alasan untuk mengekalkan etimologi kata tersebut. Sebagai contoh, perkataan seperti “mempelopori” yang dianggap kekecualian oleh TBD. Hal ini membuktikan bahawa tidak terdapat konsistensi dalam teori yang mengatakan bahawa apabila imbuhan awalan meN- bertemu dengan /k/ /g/ dan sebagainya, maka konsonan tersebut akan digugurkan. Hal ini juga disebutkan oleh Gisa Rauh (2010) bahawa sesuatu teori itu kadang-kala tidak mempunyai konsistensi dan mempunyai masalah disebabkan sifat bahasa yang boleh berubah-ubah.

2. 2. Mempertinggi/dipertinggi (TBD), pertinggi (NMM). Dalam TBD, tiada afiks awalan KK per-, sebaliknya dalam NMM, afiks awalan per- juga dianggap sebagai afiks awalan KK. Oleh itu, mengikut Gisa Rauh, berdasarkan teori yang dikemukakan oleh Fries (1952, dalam Gisa Rauh 2010), kita boleh menggunakan kaedah paradigmatik atau sistem penggantian bagi menentukan sesuatu golongan kata itu. Dalam konteks “pertinggi”, kita boleh menukarkannya dengan perkataan seperti “perbesar” dan sebagainya. Perkataan “tinggi” dan “besar” merupakan kata adjektif, tetapi apabila digabungkan dengan imbuhan awalan “per-“, maka perkataan tersebut menjadi kata kerja. Hal ini juga boleh dibuktikan lagi dengan menambah kata bantu dalam ayat “dia sudah pertinggi bangunan itu” atau “dia sudah perbesar bangunan itu” bagi membuktikan bahawa imbuhan per- juga merupakan imbuhan awalan kata kerja. Oleh itu jelaslah di sini bahawa imbuhan per- merupakan imbuhan awalan kata kerja.

3.   3. Kata nafi kerja. Dalam NMM, kata nafi kerja dianggap kata yang memasuki golongan kata kerja dan mempunyai fungsi yang sama seperti kata kerja. Sebagai contoh, “dia tiada rumah”. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa kata nafi kerja ini mempunyai komponen makna + nafi. Sebaliknya, dalam TBD, kata nafi hanya diterangkan sebagai unsur yang hadir sebelum frasa kerja dan tidak dianggap sebagai kata kerja. Mengikut Harris (1946, dalam Gisa Rauh 2010), kita perlu menggunakan sistem penggantian untuk menentukan sesuatu golongan kata itu. Oleh itu, bagi menentukan sama ada “tiada” merupakan kata kerja atau tidak, kita boleh menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan yang berlawanan dengannya, iaitu “ada” di dalam ayat “saya ada rumah”. “ada” merupakan kata kerja yang bermaksud “mempunyai” atau “wujud”.

4.  4. Menurut Jackendoff (1977, dalam Gisa Rauh, 2010) kata kerja boleh berada di kedudukan subjek, objek, dan komplemen. Hal ini berbeza dengan TBD yang hanya mengatakan bahawa kata kerja merupakan inti kepada frasa kerja sahaja. Manakala, bagi NMM pula mengatakan bahawa kata kerja hanya berfungsi pada predikat dalam ayat Subjek-Predikat-(objek)-(Ajung), iaitu kata kerja hanya berfungsi pada bahagian predikat sahaja dan tidak boleh berada pada kedudukan subjek. Hal ini sudah tentulah berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Jackendoff sebelum ini.

5.  5. Penggabungan kata kerja bantu. Dalam NMM, terdapat penggabungan kata kerja bantu dan ini dianggap gramatis, sebagai contoh “dia belum pernah datang”. Dalam TBD, langsung tidak diterangkan sama ada sesuatu kata tugas (kata kerja bantu) itu boleh hadir secara serentak atau tidak di dalam ayat. Namun, kita tidak boleh menganggap bahawa contoh yang diberikan dalam NMM itu salah kerana jika kita lihat pemerhatian Pollock (1989, dalam Gisa Rauh, 2010) terhadap bahasa Perancis dan bahasa Inggeris tentang kata kerja bantu ini, beliau mengatakan bahawa kata kerja bantu dalam bahasa Perancis boleh hadir sama ada di sebelah kanan atau kiri bersebelahan dengan kata kerja, manakala kata kerja bantu dalam bahasa Inggeris pula hanya boleh hadir di sebelah kiri kata kerja. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa selagi ayat yang diungkapkan itu mempunyai maksud dan gramatis, maka ayat tersebut dianggap betul.

6.  6. Kata kerja transitif. Mengikut TBD, kata kerja transitif merupakan kata kerja yang mengandungi objek (FN) dan kata kerja tersebut boleh dipasifkan. Selain itu, TBD juga hanya mengkhususkan perkataan yang menerima awalan meN- sahaja sebagai kata kerja transitif. Sebaliknya, dalam NMM, kata kerja transitif tidak semestinya boleh dipasifkan kerana mengikut NMM, di dalam kata kerja transitif terdapat dua jenis kata kerja transitif, iaitu kata kerja transitif jati (boleh dipasifkan) dan kata kerja transitif semu (tidak boleh dipasifkan).

7.  7. Kata kerja pasif. Mengikut TBD, sesuatu kata kerja pasif itu adalah apabila kata kerja tersebut meneriman awalan di- (awalan meN- untuk KK aktif) dan ter- sahaja. Sebaliknya, NMM mengatakan bahawa kata kerja pasif juga boleh menerima imbuhan awalan per- seperti “tetamu itu hendak kami persilakan ke rumah kami” (kata kerja pasif semu) dalam ayat yang bersusunan Objek-Pelaku-Perbuatan.

8.   8. Imbuhan apitan dipeR-…-kan. Dalam NMM, tiada imbuhan kata kerja apitan dipeR-…-kan. Namun, perkataan itu tergolong dalam penambah kompleks mengikut NMM. Sebaliknya, dalam TBD, terdapat imbuhan kata kerja dipeR-…-kan yang dianggap sebagai kata kerja pasif.

9.  9. Dalam TBD, istilah kata tugas digunakan bagi menunjukkan sesuatu kata itu mendukung sesuatu tugas sintaksis itu dan dalam konteks kata kerja, kata tugas hadir dalam ayat atau frasa kerja. Namun begitu, dalam NMM, kata kerja bantu merupakan kata kerja yang “membantu” kata kerja leksikal dalam memberi ciri aspek dan modalitas. Isunya di sini ialah perbezaan penggunaan istilah sahaja. Namun begitu, NMM lebih bersifat menjurus secara sepesifik kepada kata bantu, manakala TBD lebih bersifat umum dengan menggunakan istilah kata tugas.

10. Isu yang terakhir yang dapat penulis lihat dalam TBD dan NMM ialah TBD dan NMM tidak menerangkan tentang struktur permukaan dan struktur dalaman seperti yang diterangkan di dalam buku “syntactic categories”.

Tajuk: Unsur ketersiratan (Mohamad Rozi Bin Kasim Ph.D)




Dalam sesuatu ayat, unsur ketersiratan merupakan unsur yang sering muncul dalam minda kita apabila kita membaca sesuatu ayat itu. Oleh itu, kita akan cuba untuk mengenal pasti dan menghuraikan sebab munculnya unsur ketersiratan ini. Salah satu punca yang menyebabkan terjadinya unsur ketersiratan ini adalah kerana terdapat perkataan-perkataan tertentu yang mesti digugurkan di dalam ayat tersebut. Sekiranya perkataan-perkataan tersebut tidak dugugurkan, kemungkinan ayat tersebut menjadi tidak gramatis atau lewah. Namun perlu kita ingat bahawa walaupun perkataan-perkataan tersebut digugurkan, tetapi sebenarnya perkataan itu tetap wujud dan cuma tidak dizahirkan di dalam ayat sahaja. Kita cuba lihat contoh (1) di dalam ayat “isterinya nampak seperti tertanya-tanya apabila melihat beberapa bungkusan yang berbalut kemas di atas meja dekat pintu”. Di dalam contoh ayat tersebut, ada beberapa unsur yang digugurkan dan tidak dizahirkan di dalam ayat. Antara unsur yang tidak dizahirkan ialah kata nama isterinya, bungkusan, dan kata bantu. Kesemua unsur yang digugurkan itu sekiranya dizahirkan di dalam contoh ayat di atas sudah pastilah akan menyebabkan ayat itu menjadi tidak gramatis atau lewah. Kebiasaannya, unsur yang digugurkan ini bersifat berulang-ulang atau serupa dan kedudukan unsur yang digugurkan tersebut berada di posisi subjek, kata bantu, atau kopula (Sila rujuk Lampiran 1 untuk melihat posisi unsur yang tidak dinyatakan di dalam ayat yang bertanda kosong “Ø”).

Selain itu, antara sebab berlakunya unsur ketersiratan ini adalah kerana jika unsur yang tersirat itu dinyatakan, mungkin akan ayat itu akan memberi makna yang berbeza. Hal ini disebabkan, mengikut teori transformasi generatif, strtukur luaran ayat berperanan penting dalam menentukan struktur dalam ayat. Struktur luaran di sini bermaksud ayat yang secara zahir kita boleh lihat, manakala struktur dalaman pula ialah makna yang terhasil daripada ayat yang kita lihat tersebut. Sekiranya ayat di dalam contoh 1 menyatakan unsur tersiratnya seperti ini (contoh 2), “ isterinya telah nampak seperti isterinya telah tertanya-tanya apabila isterinya telah melihat beberapa bungkusan yang bungkusan sudah berbalut kemas di atas meja dekat pintu”, sudah pastilah makna bagi ayat tersebut (struktur dalaman) tidak sama seperti ayat yang terdapat di dalam contoh 1. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa struktur permukaan memainkan peranan penting dalam menentukan makna (struktur dalaman) bagi sesuatu ayat itu.

Di samping itu, antara faktor yang menyebabkan munculnya ketersiratan ini adalah disebabkan faktor ekonomi. Faktor ekonomi di sini bermaksud beberapa perkataan di dalam sesuatu ayat itu digugurkan atau tidak dizahirkan disebabkan ingin menjimatkan masa ketika menyebut atau menyampaikan ayat tersebut. Sebagai contoh, ayat di dalam contoh 1 lebih pendek jika dibandingkan dengan ayat di dalam contoh 2. Pembaca akan mengambil masa yang lebih cepat untuk memproses makna yang terdapat di dalam ayat di contoh 1 kerana ayat tersebut ringkas dan padat, manakala pembaca akan mengambil masa yang lebih lama untuk memproses makna yang terdapat di dalam ayat di contoh 2 kerana ayat tersebut lebih panjang dan lewah.



KAEDAH MENGAJAR KARANGAN PANJANG


Salam. Ada kawan meminta saya ajar kaedah mengajar murid menulis karangan yang panjang dan seragam. Saya mengajar TEKNIK CABANG

Teknik ini menyedari bahawa setiap murid pasti ada idea walaupun murid itu murid lemah. Tugas guru hanya melatih murid membina ayat yang baik daripada point/idea murid. InsyaAllah murid akan berjaya menulis setiap perenggan dengan jumlah ayat paling kurang 10-11 ayat ☺️ Akhirnya binaan karangan akan seimbang setiap perenggan dan panjang.

Pertama sekali, guru dan murid akan berbincang 4 isi penting yang utama. Selepas mendapat 4 isi penting yang utama barulah teknik cabang akan digunakan. Bagaimana ingin memilih isi terbaik? Sebab kadang-kadang murid pilih isi yang hampir sama bagi setiap perenggan, betul tak? Ini menyebabkan kualiti karangan berkurang. Oleh itu, latih murid keluarkan sebanyak mungkin isi terlebih dahulu (10-12 isi) yang ada dalam kepala. Lepas itu baru pilih isi yang terbaik. Isi yang hampir sama kita akan nomborkan dan letak di bawah kepala yang sama. Cara ini bukan sahaja mengelakkan murid tulis isi yang hampir sama, malah mereka akan dapat idea tambahan untuk menulis huraian.

Jika dilihat contoh cabang di dalam gambar, setiap ruangan tersebut merupakan ruang untuk murid menulis idea mereka. Tidak perlu panjang point/idea itu sebab dari situlah kita akan membina ayat. Pastikan setiap ruangan kosong itu merupakan satu ayat dan tak perlu gabung dengan ayat yang lain. Setiap isi akan ada 3 cabang yang utama (jika murid ada idea lebih boleh jadikan cabang tersebut 4 atau lebih).

Apabila setiap cabang telah diisi dengan point atau idea ringkas, barulah murid dikehendaki membina ayat dalam bentuk perenggan. Pastikan setiap cabang itu 1 ayat, jangan sambung-sambung dengan cabang lain.

Apakah cara nak rangsang minda murid tulis idea di setiap cabang? Mudah sahaja InsyaAllah ☺️ saya berikan beberapa bentuk soalan 😉

1. Jika soalan berbentuk LANGKAH/CARA/KAEDAH

*biasanya soalan jenis ini meminta murid menulis langkah ke arah kebaikan. Oleh itu, guru perlu menjelaskan kepada murid bahawa cabang 1 murid mesti menulis situasi sebelum ini (keburukan). Cabang 2 pula langkah yang perlu diambil. Jika murid mempunyai banyak idea dan contoh dalam langkah tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap. Saya galakkan perbanyakkan ranting (idea) dalam cabang 2 ini supaya karangan kita ini akan banyak menceritakan langkah dan tidak terpesong. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya). Cabang 3 pula kesan selepas langkah diambil. Tidak perlu banyak, mungkin 1 atau 2 ayat sahaja. Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang. Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya murid tidak terpesong.

2. Jika soalan berbentuk PUNCA/SEBAB/FAKTOR

*Cabang 1 dan 2 tulis idea atau point berkaitan punca sesuatu perkara itu boleh berlaku. Jika murid mempunyai banyak idea dan contoh dalam punca tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya). Cabang 3 kesan daripada punca yang buruk itu. Tidak perlu banyak, 1 atau 2 ayat sudah cukup. Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang. Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya murid tidak terpesong.

3. Jika soalan berkaitan KESAN/AKIBAT/IMPAK

*Cabang 1 tulis punca, cabang 2 kesan, cabang 3 langkah. Boleh juga tulis cabang 1 dan 2 kesan, manakala cabang 3 punca. Jika murid mempunyai banyak idea dan contoh dalam kesan tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap. Perlu diingat, ranting bagi cabang “kesan” perlu diperbanyakkan supaya karangan menepati kehendak soalan dan tidak terpesong. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya). Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang. Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya murid tidak terpesong.

4. Jika soalan berbentuk MANFAAT/KEBAIKAN

*untuk menghuraikan faedah atau kebaikan, cabang 1 boleh juga cerita keburukan sesuatu amalan itu jika kita tidak lakukan. Contohnya faedah amalan berjimat ialah dapat digunakan pada waktu kecemasan. Jadi, kita boleh cerita sedikit di cabang 1 jika kita tidak berjimat kita akan susah semasa waktu kecemasan dan berikan contoh. Cabang 2 dan 3 pula kita barulah kita huraikan faedah tersebut. Contohnya, ceritakan di cabang 2 dan 3 contoh2 tentang wang yang boleh digunakan pada masa kecemasan, apa contoh kecemasan dan banyak lagi. Jika murid mempunyai banyak idea dan contoh dalam isi tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap . Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya). Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang. Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya murid tidak terpesong.

Ayat Penegasan:
-Perlu ditulis pada ayat terakhir setiap perenggan (tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang).
-Mudah sahaja. Boleh ikut cara ini “Jelaslah bahawa (masukkan isi) merupakan salah satu (masukkan tajuk soalan).”
-Ayat penegasan diibaratkan sebagai tali terakhir untuk mengikat sesuatu bungkusan 😉

Nota tambahan:
Pendahuluan.
- Dalam pendahuluan jangan cerita pasal tajuk/isi sebab pendahuluan dianggap sebagai kepala dan isi dianggap sebagai badan. Tidak boleh badan masuk dalam kepala, betul tak? 🤣 Contoh jika tajuk minta PUNCA. Pendahuluan boleh tulis definisi dan kesan.
-Jika tajuk minta langkah. Pendahuluan  boleh tulis punca dan kesan.
-Ayat terakhir pendahuluan baru tulis “Terdapat beberapa (tajuk)” untuk menunjukkan adanya kohesi antara perenggan.

Kesimpulan:
-berikan harapan.
-boleh juga masukkan peribahasa
-jangan buka cerita lagi, anggap sahaja ini perenggan untuk tutup cerita. Tidak perlu panjang, cukup 5-6 ayat.

Tegaskan kepada murid, ambil masa 10-15 minit ini sebelum exam untuk buat cabang. Jangan takut tak sempat, sebab percayalah teknik ini membuatkan murid tidak lupa idea mereka. Murid hanya tinggal bina ayat yang lengkap je di atas kertas peperiksaan.

Apabila murid sudah cekap dengan kaedah asas ini, latih mereka untuk “upgrade” kualiti karangan dengan menambah cabang untuk ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata, dan sebagainya) dan tambah ayat huraian. Hal ini supaya karangan akan lebih panjang dan mantap.

Nota kaki: Gambar murid saya sedang menghuraikan isi penting menggunakan teknik cabang.


 Semoga bermanfaat,
MOHAMAD ROZI BIN KASIM
SMK Taman Bukit Indah, JB