Perkaitan antara
multilingualism dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet, dan chat
yang terdapat di laman-laman sosial.
1.0 Pengenalan.
Setiap
orang di dunia ini mempunyai kelebihan yang dianugerahkan oleh Tuhan dalam
menguasai dua bahasa atau lebih. Penguasaan dua bahasa atau lebih ini boleh
dikenali sebagai multilingualism atau dwibahasa. Sebagai contoh, seorang
penutur bahasa Melayu yang mempunyai kebolehan untuk bertutur bahasa Melayu
(bahasa pertamanya) dan bahasa Inggeris (bahasa keduanya) dianggap sebagai
mereka yang mempunyai multilingualism. Pemerolehan bahasa kedua, ketiga, atau
seterusnya kebiasaannya tidak diperolehi secara semula jadi, tetapi melalui
pendidikan secara formal atau tidak formal. Setelah memperoleh bahasa kedua,
kebiasaanya penutur akan mencampur-adukkan antara bahasa pertamanya dengan
bahasa keduanya dalam komunikasi seharian, sama ada semasa komunikasi lisan atau
tulisan. Kadang-kala, komunikasi yang telah dicampur-adukkan itu juga
menunjukkan sikap seseorang itu, iaitu sama ada seseorang itu bertutur dengan
sopan atau tidak sopan. Oleh itu, di dalam kajian ini, pengkaji ingin melihat
dan mengkaji fenomena multilingualism yang diguanakan oleh penguna-pengguna
laman sosial dan dikaitkan dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983).
2.0 Kaedah kajian.
Di
dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian, iaitu melihat
fenomena multilingualism yang terdapat di laman-laman sosial dewasa ini.
Fenomena multilingualism ini kemudiannya akan dikaitkan dengan Prinsip
Kesopanan yang telah diperkenalkan oleh Leech (1983).
3.0 Objektif kajian.
Objektif
kajian bagi kajian ini adalah untuk memahami maksud sebenar bagi multilingualism
yang dimiliki oleh penutur bahasa Melayu di Malaysia yang dapat dilihat
penggunaannya di laman-laman sosial dewasa ini. Selain itu, objektif kajian ini
juga adalah untuk melihat perkaitan antara multilingualism dengan Prinsip
Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status,
comment, tweet, dan chat yang terdapat di laman-laman
sosial.
4.0 Hasil kajian.
Di
dalam bahagian ini, pengkaji akan membahagikan bahagian ini kepada dua aspek
yang utama, iaitu definisi multilingualism dan kaitan antara multilingualism
dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet,
dan chat yang terdapat di laman-laman
sosial.
4.1 Definisi multilingualism.
Sebelum
pengkaji mengulas dengan lebih lanjut tentang multilingualism, pengkaji ingin
terlebih dahulu memberikan definisi asas bagi bahasa menurut tokoh linguistik yang terkenal. Bahasa mengikut Sapir (1921,
dalam Nik Safiah Karim, 1990) didefinisikan sebagai “cara yang digunakan oleh
manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat melalui
lambang-lambang yang dihasilkan secara sukarela”. Sesuatu bahasa itu akan
dipertuturkan oleh penutur bagi sesuatu komuniti bahasa dan perlu diingat
bahawa sesorang penutur itu kadang-kala mempunyai kebolehan dalam menuturkan
dua bahasa atau lebih. Kebolehan berbahasa yang dimilik oleh sesorang penutur
inilah yang dipanggil sebagai multilingualism. Multilingualism atau dalam
perkataan lain, iaitu dwibahasa merupakan kebolehan seseorang penutur untuk
bertutur dalam dua bahasa atau lebih. Menurut Bloomfield, dalam bukunya yang
bertajuk Bahasa (Bloomfield, 1935,
dalam terjemahan Alias Mahpol et al, 1992), dwibahasa merupakan penguasaan dua
bahasa seperti penutur asli dan biasanya penutur dwibahasa memperoleh bahasa
keduanya ketika peringkat awal kanak-kanak lagi. Menurut Fishman pula di dalam
bukunya yang bertajuk Sosiologi Bahasa:
Satu Pendekatan Sains Kemasyarkatan Antara Disiplin Terhadap Bahasa Dalam
Masyarakat (Fishman, 1972, dalam terjemahan Alias Mohamad Yatim, 1991),
dwibahasa adalah satu sifat kecekapan linguistik individu. Oleh itu, dapat kita
lihat bahawa multilingualism ini merupakan kebolehan berbahasa lebih daripada
satu bahasa yang dimiliki oleh seseorang individu itu dan setiap orang yang
lahir ke dunia ini secara semula jadinya mempunyai keupayaan untuk menguasai
lebih daripada satu bahasa.
4.2 Kaitan antara multilingualism
dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983) berdasarkan status, comment, tweet,
dan chat yang terdapat di laman-laman
sosial.
Di
dalam bahagian ini, pengkaji ingin membincangkan tentang kaitan antara
multilingualism dengan prinsip kesopanan yang telah diperkenalkan oleh tokoh
pragmatik yang terkenal, iaitu Leech (1983, dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah et
al, Tiada Tarikh). Kaitan antara kedua-dua aspek ini penting bagi
memperlihatkan kebolehgabungan bidang sosiolingusitik (multilingualism) dengan
teori pragmatik (prinsip kesopanan Leech) bagi memperlihatkan penggunaan
multilingualism yang digunakan oleh masyarakat di dalam laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan
sebagainya untuk tujuan memperlihatkan kesopanan mereka, sama ada melalui status, tweet, chat, komen, dan
sebagainya. Prinsip kesopanan Leech (1983) terdiri daripada enam maksim,
seperti yang berikut:
4.2.1
Maksim
santun
Di
dalam maksim ini, penutur akan cuba mengurangkan kuasa yang dimilikinya dengan
memaksimumkan manfaat dan mengungkapkan pujian kepada orang lain. Lihat contoh di
bawah:
Gambar 1: Contoh
chat (mesej peribadi) penutur dengan
lawan tutur. (Identiti sebenar bagi pemilik akaun facebook ini dirahsiakan atas permintaan pemilik akaun facebook itu sendiri)
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Berdasarkan
contoh di atas, dapat kita lihat bahawa penutur menggunakan multilingualism
dalam perbualan (chat) tersebut,
iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, hanya terdapat satu
sahaja perkataan bahasa Inggeris, iaitu lawyer
(tidak termasuk kata pinjaman bahasa Inggeris “model”) yang digunakan di dalam
perbualan tersebut. Tujuan penutur menggunakan perkataan lawyer kerana perkataan tersebut seperti memuji kerjaya yang
dimiliki oleh lawan tutur. Sememangnya, bahasa Melayu juga mempunyai perkataan
yang sama maksud dengan lawyer, iaitu
peguam, namun perkataan lawyer lebih
kerap digunakan oleh masyarakat di Malaysia di dalam perbualan yang santai dan
tidak formal.
4.2.2
Maksim
budiman atau maksim kedermawaan
Di
dalam maksim ini, penutur akan membuat tawaran kepada penutur lain seperti
memberi tawaran, bantuan, pertolongan, dan kasih sayang kepada lawan tutur. Lihat
contoh di bawah:
Gambar 2: Contoh
maksim kedermawaan yang dipetik daripada halaman perniagaan atas talian (online) di facebook.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Berdasarkan
contoh di atas, terdapat juga penggunaan multilingualism dalam promosi jualan
tudung secara online di facebook. Di sini kita dapat lihat
perbezaan antara penggunaan multilingualism di dalam Gambar 1 dan Gambar 2 bagi
menunjukkan seseorang itu mematuhi Prinsip Kesopanan Leech. Di dalam Gambar 1,
penggunaan bahasa kedua dianggap mematuhi Prinsip Kesopanan Leech kerana
perkataan tersebut dianggap memuji lawan tuturnya. Namun, di dalam Gambar 2,
bahasa yang mematuhi Prinsip Kesopanan Leech ialah bahasa pertama penutur,
iaitu bahasa Melayu. Hal ini disebabkan penutur menggunakan bahasa Melayu untuk
memberi tawaran kepada pembeli atau pembaca (lawan tutur). Walaupun penggunaan
bahasa pertama sudah cukup untuk mematuhi Prinsip Kesopanan Leech itu, penutur
tetap juga menggunakan bahasa keduanya, iaitu bahasa Inggeris untuk memberi
bantuan kepada lawan tuturnya untuk faham tentang promosi yang ditawarkannya.
Perkataan bahasa Inggeris yang digunakan untuk membantu lawan tuturnya ialah
“like page” dan “done”. Oleh itu, jika kita lihat kembali definisi maksim
budiman yang dikemukan oleh Leech, bahasa kedua itu juga dianggap mematuhi
Prinsip Kesopanan Leech kerana bahasa kedua itu “memberi bantuan” kepada lawan
tutur untuk memahami tindakan yang harus dilakukannya untuk mendapat tudung
percuma.
4.2.3
Maksim
sokongan
Maksim
sokongan membawa maksud pengurangan cacian dan penambahan pujian kepada orang
lain. Maksim ini lebih merujuk kepada kata-kata mengampu yang diucapkan oleh
penutur kepada lawan tutur. Lihat contoh di bawah:
Gambar 3: Contoh maksim sokongan.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Contoh
yang terdapat di dalam Gambar 3 ini pula menunjukkan penggunaan multilingualism
untuk menunjukkan sokongan penutur kepada lawan tuturnya. Hal ini terbukti
apabila penggunaan perkataan-perkataan sokongan berbentuk pujian seperti sangat cantik, credit, dan awesome.
Kesemua perkataan tersebut ialah campuran antara bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris yang menunjukkan penutur ingin memuji lawan tuturnya.
4.2.4
Maksim
kerendahan hati
Di
dalam maksim ini terdapat pengurangan pujian dan penambahan kurang memuji
(cacian) atas diri sendiri. Melalui maksim ini juga, penutur bukan sahaja akan
mengurangkan cacian terhadap dirinya, malah memaksimumkan cacian terhadap
dirinya sendiri. Lihat contoh di bawah:
Gambar 4: Contoh maksim kerendahan hati.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Di
dalam Gambar 4 , sudah terang lagi bersuluh comment
yang disampaikan oleh penutur mematuhi maksim kerendahan hati. Sebagai contoh,
penutur mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam ayat “saya ni hari-hari keje dapat RM30 je tau
sehari even saya ada degree”. Kenyataan tersebut bukan sahaja untuk
merendahkan dirinya, malah memaksimumkan cacian terhadap dirinya kerana gaji
yang diperolehnya tidak setimpal dengan kelayakan yang dimiliki oleh penutur.
Fokus di sini memperlihatkan penutur menggunakan bahasa pertama dan bahasa
keduanya untuk memaksimumkan cacian terhadap dirinya. Di dalam ayat “saya hari-hari keje” menunjukkan bahawa
penutur ingin membuat cacian terhadap dirinya dan penggunaan perkataan “even”
yang menunjukkan penutur ingin memaksimumkan lagi cacian tersebut.
4.2.5
Maksim
persetujuan
Maksim
persutujuan memperlihatkan pengurangan perselisihan faham dan penambahan
persepakatan antara diri dan orang lain. Hal ini adalah untuk mengelakkan
daripada konflik dan perbalahan di antara satu sama lain. Selain
itu, maksim ini adalah bertujuan menjaga air muka seseorang. Lihat contoh di
bawah:
Gambar 5: Contoh maksim persetujuan.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Berdasarkan
Gambar 4, comment antara dua orang
penutur itu adalah untuk mengurangkan perselisihan faham atau konflik dan
menambahkan persepakatan antara penutur yang pertama dengan yang kedua.
Kedua-dua orang penutur itu menggunakan multilingualism bagi menghasilkan
kenyataan yang berbentuk persepakatan dan mengurangkan perselisihan faham.
4.2.6
Maksim
simpati
Maksim
simpati merujuk kepada penambahan simpati kepada orang lain. penutur akan
cuba untuk menghilangkan rasa benci atau perasaan negatif yang lain terhadap
diri orang tersebut dan sebaliknya akan memberi sifat simpati dan belas kasihan
terhadap orang tersebut. Dalam maksim ini ditunjukkan oleh dua
penanda yang besar iaitu takziah dan tahniah. Lihat contoh di bawah:
Gambar 6: Contoh maksim simpati.
Sumber: Mohamad Rozi Bin Kasim.
Gambar
6 menunjukkan bahawa terdapat juga penggunaan multilingualism antara bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris bagi menunjukkan seseorang itu berasa simpati kepada
orang lain. Kenyataan berbentuk simpati ini mematuhi Prinsip Kesopanan Leech
yang keenam, iaitu maksim simpati. Di dalam Gambar 6, ayat “stay strong ok kak” menunjukkan gabungan
antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk menunjukkan rasa simpati.
Penutur menggunakan bahasa keduanya (bahasa Inggeris), iaitu “stay strong”
untuk menunjukkan rasa simpati dan menggunakan bahasa pertamanya, iaitu “kak”
untuk merujuk kepada orang yang ingin beliau sampaikan rasa simpati itu.
Menurut Leech (1983), walaupun beliau
telah memperkenalkan maksim tersebut sebagai pengawal dalam situasi perbualan,
namun beliau berpendapat bahawa maksim tersebut bukanlah sesuatu rumus yang perlu
dipatuhi secara mutlak. Perkara ini ditekankan terutamanya dalam submaksim yang
lemah sifatnya seperti penambahan cacian terhadap diri sendiri semata-mata
untuk menunjukkan kesantunan kita. Manusia tidak perlu memperlekeh diri sendiri
semata-mata untuk menambahkan pujian dan sanjungan terhadap pihak lain. Maksim
tersebut mungkin mewujudkan sangkaan orang lain bahawa kita bersikap tidak
jujur dan menimbulkan keraguan orang lain terhadap kita. Hakikatnya, manusia
tidak perlu mengurangkan kebaikan dirinya semata-mata untuk kebaikan pihak
lain, seperti yang dituntut dalam Maksim budiman dan maksim berhemah (Leech, 1983,
dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah et al, Tiada Tarikh). Kenyataan Leech itu ada
benarnya kerana kadang-kala apabila kita memperlekehkan diri kita semata-mata
ingin dilihat sebagai seorang yang rendah diri (maksim kerendahan hati), kita
akan dianggap sebagai seorang tidak bermotivasi dan kurang keyakinan diri.
Contohnya petikan perbualan seperti, “aku
ni tak pandai dan bodoh sebab gagal SPM, kau lagi pandai daripada aku sebab
lulus SPM”. Petikan tersebut menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai
keyakinan diri dan motivasi yang tinggi kerana sesorang gagal dalam SPM (Sijil
Pelajaran Malaysia), tidak bermakna bahawa dia juga akan gagal dalam
kehidupannya sebagai seorang manusia.
5.0 Kesimpulan.
Sememangnya
penutur bahasa Melayu di Malaysia mempunyai keupayaan untuk bertutur lebih
daripada satu bahasa. Namun begitu, berdasarkan kajian yang telah dihuraikan di
atas, tidak semestinya seseorang yang mencampur-adukkan bahasa pertamanya
(bahasa Melayu) dengan bahasa keduanya (bahasa Inggeris) mempunyai kecekapan
linguistik yang baik dalam menguasai bahasa kedua tersebut. Hal ini disebabkan,
kebanyakan individu yang mencampur-adukkan dua bahasa atau lebih dalam sesuatu
pernyataan mungkin hanya menguasai sebahagian atau sedikit sahaja bahasa
keduanya kerana penggunaan bahasa kedua yang minima di dalam sesuatu pernyataan
tersebut. Hal ini sudah tentulah meragukan kita sekiranya kita menganggap bahawa
individu yang menyelitkan dua atau tiga patah perkataan bahasa keduanya ke
dalam sesuatu pernyataan mempunyai kebolehan berbahasa yang baik terhadap
bahasa keduanya. Selain itu, sememangnya terdapat banyak sebab seseorang
individu itu menggunakan dwibahasa di dalam sesuatu perbualan atau pernyataan. Walaubagaimanapun,
pengkaji dapat simpulkan di sini bahawa
penggunaan dwibahasa juga mampu menunjukkan kesopanan sesorang itu kerana
bahasa kedua yang digunakan di dalam contoh-contoh di atas lebih kepada
menunjukkan seseorang itu ingin menghargai, memuji, menunjukkan rasa simpati,
dan memudahkan individu lain untuk memahami pernyataan atau perbualan tersebut.
Rujukan.
Bloomfield, Leonard. 1935. Bahasa. Terjemahan Alias Mahpol et al. 1992. Dewan Bahasa dan
Pustaka: Kuala Lumpur.
Fishman, A. Joshua. 1972. Sosiologi Bahasa: Satu Pendekatan Sains Kemasyarakatan Antara Disiplin
Terhadap Bahasa Dalam Masyarakat. Terjemahan Alias Mohamad Yatim. 1991.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Nik Safiah Karim. 1990. Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan
Pustaka: Kuala Lumpur.
Wardhaugh, Ronald. 2006. An Introduction To Sociolinguistics: Fifth Edition. Blackwell
Publishing: USA.
Zaitul Azma Zainon Hamzah et al. Tiada Tarikh. Kesantunan Bahasa Dalam Kalangan Remaja
Sekolah Menengah. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi: Universiti Putra
Malaysia. http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/08/7-KESANTUNAN-BERBAHASA-DALAM-KALANGAN-REMAJA.pdf
No comments:
Post a Comment