Tuesday 7 April 2015

Isu imbuhan awalan kata kerja per- yang tiada di dalam buku Tatabahasa Dewan.

Blog ini akan membincangkan isu tentang imbuhan awalan kata kerja (KK) yang tiada di dalam buku Tatabahasa Dewan (TBD) tetapi ada di dalam buku Nahu Melayu Mutakhir (NMM). Imbuhan awalan KK tersebut ialah awalan per-. Mengikut buku NMM, imbuhan awalan per- berfungsi sebagai penetap dan juga pengubah golongan kata (Asmah Hj Omar, 1993: 131). Sesuatu kata kerja yang terhasil daripada imbuhan awalan per- boleh terdiri daripada imbuhan awalan per- yang digabungkan dengan KK, kata adjektif/sifat (KADJ), dan kata nama (KN). Imbuhan awalan per- apabila digabungkan KK akan membawa makna “membuat atau melakukan” dan “menyebabkan” (Asmah Hj Omar, 1993: 131). Seterusnya,  imbuhan awalan per- sekiranya diimbuhkan dengan KADJ akan membawa makna “menyebabkan”, manakala sekiranya imbuhan awalan per- diimbuhkan dengan KN akan membawa makna “menghasilkan, menjadikan sebagai, atau memberi” (Asmah Haji Omar, 1993: 131). Antara contoh perkataan yang menjadi KK apabila diimbuhkan dengan imbuhan awalan per- ialah “perbuat”, “pertinggi”, dan “peranak”. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa kesemua contoh tersebut merupakan kata kerja. Namun begitu, TBD langsung tidak menceritakan atau menerangkan tentang imbuhan awalan per- sebagai imbuhan awalan kata kerja dan hanya menyenaraikan imbuhan awalan meN-, beR-, teR-, di-, mempeR-, dan dipeR- sebagai imbuhan awalan kata kerja (Nik Safiah Karim et al., 2010: 151).
Bagi menentukan sama ada imbuhan awalan per- merupakan imbuhan awalan kata kerja atau tidak, kita boleh menyelusuri beberapa pandangan tokoh tentang imbuhan awalan kata kerja ini. Menurut Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za’ba (2000), jika kita menggunakan penambah per- dalam tulisan atau bahasa surat, maka perkataan yang menggunakan penambah per- itu akan mempunyai maksud “melakukan perbuatan itu” seperti dalam perkataan “Perbuatlah apa yang patut” (Za’ba, 2000: 141). Selain itu, Za’ba juga mengatakan bahawa imbuhan atau penambah per- ini merupakan imbuhan yang mampu mengubah sesuatu golongan kata itu menjadi KK seperti dalam perkataan “perhati”, “pertuan”, “peristeri”, “permulia”, dan sebagainya (Za’ba, 2000: 141). Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa tokoh bahasa Melayu negara yang terkenal juga menganggap bahawa imbuhan awalan per- merupakan imbuhan awalan KK. Menurut Liaw Yock Fang (1985) pula, awalan per- adalah imbuhan pembentuk kata kerja yang kurang produktif dan seringkali diberi awalan me- sehingga membentuk memper- (Liaw Yock Fang: 1985: 130). Walaupun Liaw Yock Fang mengatakan bahawa imbuhan per- merupakan imbuhan awalan KK yang tidak produktif, namun begitu beliau turut mengakui bahawa imbuhan tersebut merupakan imbuhan kata kerja kerana beliau turut memberi contoh penggunaan per- untuk perkataan “persenang” di dalam ayat “Jangan khuatir, persenang sahajalah hatimu” (Liaw Yock Fang, 1985: 130). Berdasarkan pandangan kedua-dua tokoh tersebut, kita dapat lihat bahawa kedua-dua tokoh itu sependapat dengan buku NMM yang mengatakan bahawa per- merupakan salah satu imbuhan awalan KK. Akhir sekali, bagi mengesahkan bahawa imbuhan per- merupakan imbuhan awalan KK, kita akan melihat pandangan daripada tokoh luar negara, iaitu Fries (1952). Berdasarkan teori yang dikemukakan oleh Fries (1952, dalam Gisa Rauh, 2010: 49), kita boleh menggunakan kaedah paradigmatik atau sistem penggantian bagi menentukan sesuatu golongan kata itu dalam konteks kedudukan atau posisi perkataan yang sama dalam ayat (Fries, 1952, dalam Gisa Rauh, 2010: 49). Dalam konteks “dia pertinggi rumah”, kita boleh menukarkannya dengan perkataan seperti “dia perbesar rumah” dan sebagainya. Perkataan “tinggi” dan “besar” merupakan kata adjektif, tetapi apabila digabungkan dengan imbuhan awalan per-, maka perkataan tersebut menjadi kata kerja. Hal ini juga boleh dibuktikan lagi dengan melihat kedudukan “pertinggi” dan “perbesar” dalam posisi KK dalam urutan Subjek-Kerja-(Objek)-(Adjung) bahasa Melayu. Oleh itu jelaslah di sini bahawa imbuhan per- merupakan imbuhan awalan kata kerja.
Kesimpulannya, hasil daripada perbincangan dan pandangan-pandangan tokoh yang penulis telah kongsikan di sini membuktikan kepada kita bahawa imbuhan per- merupakan imbuhan awalan KK. Oleh itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh buku NMM bahawa imbuhan awalan per- merupakan imbuhan awalan KK adalah benar sama sekali. Sebaliknya, penulis-penulis TBD mungkin perlu mengkaji semula buku TBD yang dikeluarkan oleh mereka untuk memasukkan imbuhan per- sebagai imbuhan awalan kata kerja di dalam buku TBD. Hal ini disebabkan buku TBD menjadi rujukan kebanyakan rakyat Malaysia dan langkah pengkajian semula imbuhan per- harus dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia.



Bibliografi.
Asmah Haji Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Liaw Yock Fang. 1985. Nahu Melayu Moden. Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura.
Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Rauh, Gisa. 2010. Syntactic Categories. Oxford University Press: New York.
 Zainal Abidin Ahmad.  2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

4 comments:

  1. orang putih cakap 'nice one'...orang Melayu cakap 'baik satu'...hehhehe

    ReplyDelete
  2. Orang putih cakap 'good job'...orang Melayu cakap 'kerja baik'...lalala~~

    ReplyDelete
  3. hahaha terima kasih maisarah dan syed redha :D

    ReplyDelete
  4. Orang putih cakap 'thank you' ...orang Melayu cakap 'Terima Kasih'... Wawawa„„„

    ReplyDelete