Wednesday 8 April 2015

Isu bahasa Melayu: Mengapa penggunaan perumpamaan "bagai sirih pulang ke gagang"?

Setiap bahasa mempunyai keunikannya yang tersendiri. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Antara salah satu keunikan bahasa Melayu ialah penggunaan kata atau ayat yang berbunga-bunga dan mempunyai maksud yang mendalam. Oleh itu, di dalam ruangan ini penulis ingin menjelaskan salah satu keunikan bahasa Melayu, iaitu penggunaan perumpamaan. Perumpamaan yang ingin penulis ketengahkan di sini ialah ‘bagai sirih pulang ke gagang’. Jika kita fikirkan semula, apakah kewajaran penggunaan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ dalam kalangan masyarakat Melayu? Mengapa perkataan tersebut tidak ditukarkan dengan perkataan lain? Sudah pasti ada sebab yang tertentu masyarakat Melayu dahulu menggunakan perumpamaan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ dan tidak menggunakan perkataan lain untuk merujuk kepada maksud perumpamaan tersebut.
Sebelum mengulas dengan lebih lanjut tentang perumpamaan ‘bagai sirih pulang ke gagang ini’, alangkah lebih baik sekiranya kita menyelusuri terlebih dahulu maksud bahasa kiasan kerana perumpamaan merupakan salah satu daripada bentuk bahasa kiasan. Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd (1994), bahasa kiasan ialah ungkapan-ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri ataupun daripada makna susunan tatabahasanya sahaja (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994: 343). Menurut mereka lagi, pada suatu masa dahulu, kemahiran mencipta bahasa kiasan dianggap bakat semula jadi yang dimiliki oleh para pengarang karya-karya sastera (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994: 350). Perumpamaan pula ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, bak, seperti, laksana, macam, bagai, dan umpama (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994: 347). Seterusnya, kita akan melihat maksud leksikal atau maksud kamus terlebih dahulu bagi perkataan sirih dan gagang. Perkataan ‘sirih’ mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah sejenis tumbuhan, iaitu pokok renek yang memanjat dan daunnya dimakan dengan pinang, gambir, kapur, dan lain-lain. Manakala maksud perkataan ‘gagang’ mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah tangkai. Namun begitu, jika kita melihat maksud sebenar bagi perumpamaan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ adalah tidak sama seperti maksud asal bagi ‘sirih’ dan ‘gagang’ itu. Maksud bagi perumpamaan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ mengikut Pusat Rujukan  Persuratan Melayu (PRPM ) ialah orang yang kembali kepada asalnya atau tempat asalnya.
Berdasarkan maksud yang diberikan oleh PRPM itu tadi, kita boleh lihat ada sedikit kaitan antara ‘sirih’ dan ‘gagang’ kerana merujuk kepada sirih yang pulang semula ke tangkainya dan sama maksud dengan orang yang pulang ke tempat asalnya. Namun begitu, persoalan di sini ialah mengapa masyarakat Melayu menggunakan perkataan ‘sirih’ dan ‘gagang’ untuk merujuk kepada maksud orang yang pulang ke tempat asalnya? Mengapa masyarakat Melayu tidak menggunakan perkataan lain untuk merujuk kepada maksud yang sama tersebut? Sudah pasti di sini terdapat keistimewaan ‘sirih’ yang harus kita kaji bagi mengesahkan kerelevanan penggunaan ‘sirih’ dalam perumpamaan tersebut. Mengikut artikel Harian Metro yang bertarikh 26/1/2015, terdapat lebih kurang 12 kelebihan daun sirih. Antara kelebihan daun sirih mengikut artikel tersebut ialah:
1.      Menghilangkan sakit tekak, bengkak di bahagian tekak dan batuk berkahak.
2.      Sebagai pencuci bahagian faraj bagi menangani masalah keputihan, menghilangkan bau, gatal-gatal atau jangkitan bakteria.
3.      Membantu menyejukkan badan dan mengecutkan saluran peranakan untuk wanita berpantang.
4.      Menghalang dan menghentikan hidung berdarah.
5.      Daun sirih mengandungi antiseptik yang dapat menghilangkan gatal kulit seperti kurap dan kayap.
6.       Membantu menghilangkan bisa dan bengkak kesan gigitan serangga dan tebuan.
7.      Menghilangkan atau meneutralkan bau badan, bau mulut, bau bahagian alat sulit yang tidak menyenangkan.
8.      Mengurangkan demam panas serta kembung kanak-kanak.
9.      Menghilangkan sakit kepala, gatal dan kelemumur.
10.  Bantu menghilangkan parut jerawat dan jeragat selain melembapkan kulit, melebatkan bulu kening dan dijadikan masker.
11.  Sebagai bahan pembalut untuk tangan terseliuh atau patah.
12.  Merawat penyakit sendi dan bisa tulang.
Berdasarkan senarai kelebihan daun sirih itu, dapat kita lihat bahawa masyarakat Melayu dahulu mempunyai sebab mengaitkan daun sirih pulang ke tangkainya (gagang) yang merujuk kepada orang yang pulang ke tempat asalnya. Jadi, maksud di sini orang yang pulang ke tempat asalnya itu membawa banyak manfaat ke tempatnya seperti diumpamakan daun sirih yang mempunyai banyak khasiat kepada pemakan atau penggunanya.
            Kesimpulannya, sesuatu bahasa kiasan seperti perumpamaan yang dicipta oleh orang Melayu dahulu mempunyai maksud yang sangat mendalam. Mereka tidak sesuka hati mengumpamakan sesuatu itu dengan sesuatu yang lain tanpa mengaitkan unsur tersirat yang terdapat di dalam benda yang diumpamakan itu.


Bibliografi.

Buku.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 1994. Tatabahasa Dinamika. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur.

Kamus.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Web.

Keistimewaan Daun Sireh. Diakses daripada http://www.hmetro.com.my/node/26233  9/4/2015.


10 comments:

  1. Hasil penulisan yang baik, sifu

    ReplyDelete
    Replies
    1. trm ksh sinon haha kamu pun mempunyai penulisan yang baik :D

      Delete
  2. rozi mai pinjam buku tatabahasa dinamika sat..akak cari merata library takdak semalam..hihi..btw adore with ur writing. good job

    ReplyDelete
  3. 'bagai sirih pulang ke gagang' mmg menarik peribahasa ni...maksud dia 'orang yang kembali ke tempat asalnya'...mungkin betul la penggunaan sirih tu..sbb bukan mudah daun sirih yang dah dipetih nk bercantum semula dengan 'gagangnya' kan..kecualila ada orang pi letak salotap..heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha betul tu mai, sirih pulang membawa seribu makna haha

      Delete
  4. Great topic to be shared. Good job Rozi !

    ReplyDelete
  5. Saya rasa 'gagangnya'itu bkn mrujuk pda tangkai tetapi kepada orang yang menyemai pohon sirih itu...iaitu ia mendatangkan bnyak kebaikan apabila ia kembali pda batang tubuh mnusia..yg mna mnusia itu adalah gagang yg telah bertanggungjwab menyemai pepohon sireh itu sendiri(pndangan peribadi saya smata2,tidak mrujuk pda mna2 artikel)

    ReplyDelete
  6. Saya rasa 'gagangnya'itu bkn mrujuk pda tangkai tetapi kepada orang yang menyemai pohon sirih itu...iaitu ia mendatangkan bnyak kebaikan apabila ia kembali pda batang tubuh mnusia..yg mna mnusia itu adalah gagang yg telah bertanggungjwab menyemai pepohon sireh itu sendiri(pndangan peribadi saya smata2,tidak mrujuk pda mna2 artikel)

    ReplyDelete